Pengenalan tentang Teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran
Pada zaman yang serba canggih ini, media pengajaran semakin rancak diterapkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Penggunaan audio dan video telah dikenali sebagai salah satu saluran komunikasi dan menjadi asas kepada bidang teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Justeru, seseorang guru mendapat faedah dan kemudahan kerana media pengajaran menjadi cabang dalam membantu guru meningkatkan minat dan kefahaman murid-murid terhadap pembelajaran.
Seperti yang kita ketahui, media dalam pengajaran merupakan alatan yang menyalurkan mesej pengirim kepada penerima mesej sehingga mendorong dan merangsang pemikiran, perasaan, minat dan perhatian penerima. Justeru, seorang guru hendaklah bersikap kreatif dan kritis dalam menyesuaikan media pengajaran mereka dengan rancangan pengajaran yang ingin diajarkan. Cara ini bukan sahaja merangsang minat murid-murid untuk belajar, malah guru akan berpuas hati kerana hasil pembelajarannya sudah tercapai.
Sementara itu, suatu set pengajaran yang baik tidak akan lengkap sekirannya tiada perancangan yang rapi dan tersusun. Oleh itu, guru boleh mengaplikasikan Model ASSURE dengan menggunakan media pengajaran dalam pelajaran. Model ASSURE pula terdiri daripada enam langkah, iaitu analisis pelajar, menyatakan objektif, memilih kaedah, media dan bahan, menggunakan media dan bahan, memerlukan penyertaan pelajar dan menilai dan mengulangkaji.
Secara kesimpulannya, semua pihak hendaklah mengembleng usaha terutama guru dalam mendidik anak bangsa dengan menggunakan media pengajaran yang kreatif dan sesuai agar dapat melahirkan modal insan yang berketrampilan seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.